Tanpa peruntukan Persekutuan, pembangunan di Kelantan tercorot - Ahmad Zahid

TANAH MERAH - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyanggah dakwaan pimpinan Pas yang mengatakan pembangunan Kelantan disekat dan dipinggirkan sejak sekian lama.

"Kalau tiada peruntukan daripada Persekutuan, saya fikir Kelantan akan lebih tercorot lagi dari segi pembangunan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, apa yang didakwa itu adalah mustahil kerana setiap kali Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun Kelantan, semestinya akan ada pengumuman peruntukan.

Ujarnya, beliau sendiri dengar apabila berlaku keruntuhan cerun di Kelantan, Perdana Menteri beri kelulusan peruntukan segera sebanyak RM6.6 juta.

Ahmad Zahid memberitahu, setiap kali banjir besar, kerajaan Persekutuan bantu Kelantan.

"Jadi saya harap beliau (pimpinan Pas) mendapatkan maklumat terperinci daripada kepimpinannya.

“Jangan cuba membalikkan fakta dan meracuni pemikiran rakyat dengan maklumat yang tidak betul,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah menerusi hantaran di Facebooknya pada Khamis memaklumkan Kelantan satu-satunya negeri yang tidak mempunyai lebuh raya sebagaimana negeri lain.

Beliau turut mendakwa, sebahagian projek pembangunan yang sepatutnya dinikmati rakyat Kelantan ditahan dan dilengahkan Kerajaan Pusat atas sebab-sebab yang tidak pernah dijelaskan secara adil.