PRN Sabah: UMNO belum putuskan kerjasama - Ahmad Zahid

TANAH MERAH - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa UMNO telah mengadakan perbincangan berhubung rundingan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, namun keputusan muktamad masih belum dicapai.

Menurut beliau, parti itu telah membuat persiapan rapi sejak tahun lalu sebagai langkah awal menghadapi PRN tersebut.

"Kita sudah ada perbincangan tetapi keputusan belum dimuktamadkan lagi, malah kita telah siap siaga (persiapan) sejak tahun lalu lagi untuk hadapi PRN Sabah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah di sini pada Jumaat.

Media tempatan melaporkan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November ini sekali gus memberi laluan untuk PRN Sabah ke-17.

Pada PRN ke-16 yang lalu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) sebanyak 14 kerusi, manakala Parti Bersatu Sabah (PBS) menawan tujuh kerusi.

Susulan itu, GRS secara rasmi membentuk kerajaan negeri baharu di Sabah selepas memenangi 38 kerusi dalam PRN Sabah pada tahun 2020.