SEREMBAN - Pemuda UMNO Negeri Sembilan mendakwa parti itu tidak mendapat layanan sewajarnya daripada Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin berkata, perkara itu jelas apabila permintaan Barisan Nasional (BN) supaya jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan diberikan kepada wakil parti itu masih belum dipenuhi.
"Pada tahun 2023 lagi kami dimaklumkan bahawa jawatan itu akan diberikan kepada UMNO, tetapi sehingga kini tiada perkembangan.
"Kami lihat ini tidak adil kepada UMNO, sedangkan kami adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN juga telah menyuarakannya dalam sidang DUN," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, perkara tersebut turut menjadi persoalan dalam kalangan Pemuda UMNO yang sehingga kini gagal diberikan penjelasan. Ia turut disuarakan dalam Persidangan Pemuda UMNO Bahagian Seremban baru-baru ini.
Tambah Mohamad Fadil, Pemuda UMNO turut dinafikan hak untuk memegang jawatan Ahli Lembaga Pelawat Hospital apabila kesemua senarai nama yang dihantar telah ditolak.
"Kami bukannya gila jawatan, tetapi menuntut layanan yang adil kerana kita sudah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
"Kami juga tidak pernah mengkhianati janji dalam Kerajaan Perpaduan. Bahkan kami bersama-sama memainkan peranan dalam memberi kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar penyelarasan di setiap kawasan dapat dilakukan secara bersama antara pimpinan Pakatan Harapan dan BN, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dalam kerajaan gabungan itu.