SHAH ALAM - Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menyeru agar drama politik melibatkan MCA dan DAP dihentikan segera bagi memastikan fokus utama kerajaan kembali kepada isu rakyat dan kemajuan negara.
Menurut beliau, langkah Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan gabungan parti lain selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah tindakan berani dan rasional demi mengelakkan pergolakan politik yang lebih teruk, bukannya untuk kepentingan kuasa semata-mata.
“Perlu dijelaskan bahawa selepas PRU15, tiada satu pun parti yang mendapat majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian. Tanpa kerjasama antara parti, negara akan terus bergolak.
“BN membuat keputusan demi kestabilan dan kemajuan negara. Ini bukan keputusan mudah, tetapi ia dibuat atas dasar tanggungjawab kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau turut mengingatkan bahawa BN ialah gabungan pelbagai kaum yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC, dan kerjasama antara komponen parti dengan DAP perlu dilihat dalam kerangka lebih besar, iaitu demi kepentingan nasional.
“Kami akui MCA dan DAP mempunyai sejarah perbezaan pendirian. Namun, cabaran yang lebih besar kini adalah soal ekonomi, pendidikan dan perpaduan kaum. Rakyat mahu penyelesaian, bukan perbalahan,” ujarnya.
Tambah beliau, politik cara lama yang berteraskan persengketaan dan pertikaian tidak lagi relevan dalam era ini dan perlu digantikan dengan pendekatan politik baharu yang lebih matang dan bertanggungjawab.
“Dalam gabungan besar, adalah lumrah wujud perbezaan pandangan. Itu bukan tanda perpecahan, tetapi bukti demokrasi yang sihat. Apa yang lebih penting ialah dasar kerajaan terus berjalan dan rakyat terus dibela,” katanya.
Nurulhidayah turut menyatakan keyakinan bahawa rakyat sudah bosan dengan pertukaran kerajaan yang berulang kali dan berharap gabungan BN-PH dapat menjadi contoh kepada politik matang dan berjiwa besar.
“Ini bukan hipokrasi seperti didakwa sesetengah pihak. Ini keberanian dan semangat besar demi negara. Kita perlu akhiri drama ini kerana ramai pihak yang mahu melihat kerajaan ini berpecah menjelang PRU16,” katanya.
Beliau turut mengambil kesempatan memohon maaf secara terbuka sekiranya kenyataan atau pandangannya menyinggung mana-mana pihak.