Pemilihan PKR: 'Tiada rombakan kabinet, tak halang lepas jawatan' - Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 yang bakal mencapai kemuncaknya minggu ini tidak akan menyebabkan sebarang rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun menjelaskan bahawa beliau tidak dapat menghalang mana-mana pemimpin yang ingin melepaskan jawatan selepas keputusan pemilihan diumumkan.

“Ini pertandingan antara sahabat-sahabat karib dan kawan. Tidak timbul langsung isu rombakan Jemaah Menteri.

“Saya tidak tahu mengenai (rombakan kabinet), tetapi kita tidak boleh menghalang sesiapa yang ada cita-cita (untuk berundur daripada jawatan kabinet jika tewas pemilihan). Kalau tanya saya, tiada rencana sama sekali untuk buat apa-apa rombakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Taklimat Perdana Menteri bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, di sini, pada Rabu.

Anwar diminta mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan kabinet sekiranya gagal mempertahankan kerusi Timbalan Presiden dalam pemilihan parti yang dijadualkan pada 23 Mei ini.

Rafizi sebelum ini dilaporkan berkata, bahawa beliau akan kekal sebagai ahli Parlimen kerana masih mahu memikul tanggungjawab kepada rakyat.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Presiden PKR mengingatkan semua ahli parti agar memilih pemimpin yang mampu memperkukuh jentera parti dalam menghadapi cabaran akan datang.

“Dengan pertandingan ini, saya tekankan agar pilih (pemimpin) yang mampu bantu memperkukuh jentera parti dan merangkul segala kekuatan,” katanya.