Jadikan pemilihan PKR medan perkukuh parti - Ramanan

JOHOR BAHRU – Proses pemilihan kepimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bakal berlangsung pada Jumaat ini wajar dijadikan platform untuk memperkukuh dan memperkasakan parti dalam menghadapi cabaran Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Timbalan Ketua Penerangan PKR 1, Datuk Seri R. Ramanan berkata, proses pemilihan bukan sekadar soal meraih jawatan, sebaliknya merupakan ruang untuk menentukan hala tuju parti agar terus memperjuangkan suara rakyat.

“Pemilihan kali ini bukan sahaja medan memilih kepimpinan baharu, malah mencerminkan kematangan demokrasi dalam PKR yang menjunjung prinsip keadilan dan reformasi sejak penubuhannya.

“Ia adalah manifestasi kekuatan akar umbi dan semangat perpaduan dalam kalangan anggota parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, PKR sebagai sebuah parti berteraskan kepelbagaian kaum dan agama telah melalui pelbagai cabaran serta rintangan, justeru proses pemilihan ini bukanlah sesuatu yang asing.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan kali ini.

Beliau menegaskan bahawa PKR merupakan parti reformasi yang meraikan kepelbagaian pandangan, namun yang paling penting ialah kesatuan di bawah kepimpinan Presiden parti merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam membina Malaysia MADANI.

“Bersama Presiden, kita harus mara sebagai satu pasukan. Kita hanya ada satu pasukan dalam PKR. Perbezaan adalah kekuatan, dan demokrasi dalaman adalah bukti kematangan parti ini.

“Pemilihan PKR tahun ini merupakan detik penting dalam menentukan saf kepimpinan yang mampu menggalas cabaran masa depan, khususnya dalam memperkukuh keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Kongres Nasional PKR dijadual bermula malam esok dengan perasmian serentak Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita oleh Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh.

Ia akan disusuli dengan Kongres AMK dan Wanita serta pemilihan kepimpinan pusat pada pagi Jumaat, diikuti ucapan dasar Presiden yang sekali gus merasmikan Kongres Nasional PKR pada sebelah malam.

Kongres diteruskan pada Sabtu dengan sesi perbahasan dan penggulungan oleh barisan kepimpinan parti serta pengumuman keputusan pemilihan kepimpinan pusat bagi sesi 2025–2028.

— Bernama