KOTA BHARU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota bersedia berusaha untuk merealisasikan hasrat Pengerusi Majlis Penasihat Keadilan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, untuk menawan Kelantan.
Ketua Penerangan Keadilan Kota Bharu, Syahiran Muhammad berkata, kenyataan berkenaan merupakan amanah besar yang perlu dipikul oleh semua ahli menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"Kami sudah merangka beberapa gerak kerja politik membabitkan pengundi, sama ada secara dalam talian mahupun luar talian.
"Mereka kini berdepan dengan realiti kepimpinan kerajaan negeri yang tidak kompeten," katanya melalui kenyataan pada Rabu.
Beliau memberitahu, antara usaha yang dilakukan ialah menggerakkan ahli yang berpotensi menjadi pakar dalam urus tadbir negeri, termasuk bidang ekonomi, perancangan bandar, pengurusan dan sumber manusia.
Jelas beliau, ia penting supaya ahli parti mampu memberi idea dan sumbangan yang bernas sekiranya PKR diberi peluang mentadbir Kelantan.
Selain pembinaan karakter ahli, kata Syahiran, mereka turut menggerakkan kerja lapangan yang akan dimulakan seusai Kongres Nasional Keadilan yang sedang berlangsung.
"Justeru, kita mengalu-alukan kerjasama anak Kelantan yang memiliki kemahiran tersebut supaya dapat bersama melihat perubahan di negeri ini.
"Penglibatan anak Kelantan sudah pasti dapat membantu membentuk parti ini ke arah kemenangan pada PRU16," katanya.
Media pada Selasa melaporkan PKR mempunyai potensi untuk menawan Kelantan melalui semangat dan komitmen anak muda dalam parti tersebut.
Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kerjasama erat dalam parti turut menjadi faktor utama yang menarik lebih ramai untuk menyertai perjuangan PKR.