Fuziah gantikan Rafizi rasmikan kongres sayap PKR

SHAH ALAM – Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Fuziah Salleh mengesahkan bahawa beliau menerima pelawaan untuk merasmikan Kongres Nasional sayap parti itu pada Jumaat, menggantikan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Menurut Fuziah, pada asalnya Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR dijadualkan dirasmikan oleh Rafizi. Namun, perubahan terpaksa dilakukan selepas usaha memujuk Ahli Parlimen Pandan itu tidak berjaya.

“Saya tidak terus menerima pelawaan itu, sebaliknya menasihati AMK dan Wanita agar memujuk Rafizi sebaik mungkin.

“Saya maklumkan kepada mereka supaya cuba sedaya upaya dan mereka sudah pun melakukannya tetapi tidak berjaya. Justeru, saya akhirnya bersetuju kerana tidak mahu melemahkan semangat mereka,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Tambah Fuziah, pelantikan beliau juga bertujuan mengelakkan timbulnya persepsi bahawa kedua-dua sayap itu memihak kepada mana-mana kumpulan dalam parti menjelang pemilihan.

Beliau menegaskan bahawa dirinya tidak terlibat dalam mana-mana persaingan jawatan bagi Majlis Pimpinan Pusat pada pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyuarakan keyakinan bahawa ahli parti akan kembali bersatu selepas pemilihan walaupun kini terdapat persaingan sengit antara Rafizi dan pencabarnya, Nurul Izzah Anwar.

“Mereka mungkin berpecah buat masa ini tetapi saya percaya mereka semua sayangkan parti dan mahukan yang terbaik.

“Saya juga yakin kami akan bersatu semula secepat mungkin dan bergerak ke hadapan,” ujarnya.