BERBEKALKAN pengalaman pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), aktif dalam khimat masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merupakan antara kelebihan dimiliki calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir untuk menang PRK DUN Ayer Kuning, Sabtu ini.
Selain itu, Mohamad Yusri turut dikenali ramai dan dihormati masyarakat kerana pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh dan guru di Sekolah Kebangsaan Batu Tiga Ipoh, Perak.
**media[3097771]**
Beliau juga merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah dan pernah memegang pelbagai jawatan lain termasuk Ahli Majlis Daerah Tapah serta Pengerusi Pendidikan Anak-Anak Tapah.
Penganalisis politik, Dr G Manimaran berkata, dengan latar belakang dan kelayakan akademik Mohamad Yusri yang memiliki PhD dalam bidang Pendidikan Islam daripada UPSI, menjadikan calon pilihan terbaik dimiliki BN atau UMNO untuk menentang wakil Pas yang turut memiliki kelulusan dalam bidang agama.
**media[3097773]**
Sehubungan itu, Manimaran menegaskan pemilihan Mohamad Yusri akan memenuhi cita rasa dan kehendak majoriti pengundi Melayu dan beragama Islam di DUN Ayer Kuning.
“Saya juga melihat Mohamad Yusri seorang pemimpin yang boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat serta tidak terpalit dengan sebarang isu kontroversi.
“Mohamad Yusri juga amat disenangi oleh pengundi muda dan golongan atas pagar, malah dari segi keterampilan dan kelayakan akademik beliau lebih baik berbanding dua calon parti lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, satu lagi kelebihan adalah Mohamad Yusri bertanding di kerusi DUN Ayer Kuning yang menjadi kawasan kubu kuat BN dengan jumlah undi diperoleh mereka setiap kali pilihan raya ialah tidak kurang daripada 9,000 undi.
**media[3097772]**
Justeru beliau meramalkan Mohamad Yusri akan memperoleh lebih 15,000 undi atau majoriti lebih 4,000 undian jika peratusan keluar mengundi melebihi 75 peratus, pada PRK kali ini.
Kelemahan
Bagaimanapun, sebagai manusia biasa, Mohamad Yusri turut mempunyai kelemahan termasuk pernah terpalit dengan dakwaan kononnya beliau melanggar etika kerana bergiat aktif dalam politik semasa masih lagi seorang penjawat awam.
Dalam pada itu, pemimpin PN juga menggunakan isu ladang perternakan babi dan kerjasama UMNO-DAP atau UMDAP untuk menyerang Mohamad Yusri dan kepimpinan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.