KONTROVERSI melibatkan pemilihan peringkat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat semakin hangat susulan beberapa pihak menyatakan hasrat untuk mengemukakan bantahan terhadap keputusan tersebut.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang gagal mempertahankan jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Johor Bahru pada Ahad lalu memaklumkan beliau akan mengemukakan bantahan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
Akmal Nasrullah menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu turut membangkitkan isu yang timbul sepanjang proses tersebut.
Ujarnya, majoriti AJK cabang yang menang iaitu 10 orang ialah daripada pasukannya.
Selain itu, menurutnya, di peringkat AMK pula hanya 'kepala' iaitu ketua AMK yang 'dipenggal' sedangkan timbalan hingga semua AJK menang.
Bukan itu sahaja, malah dakwaan 'tangan ghaib' dalam pemilihan tersebut turut dijangka akan mencetuskan gerakan bantahan daripada peringkat cabang negeri.
Dalam pada itu, Calon Ketua Cabang PKR Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Rahman berkata, calon tewas di tujuh negeri dalam pemilihan berkenaan perlu mengemukakan bantahan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
Ujarnya, tujuh negeri tersebut melibatkan Selangor, Perlis, Pahang, Sabah, Johor, Melaka dan Kedah.
Ini kerana katanya, calon tewas di tujuh negeri itu melihat corak pemilihan tersebut tidak normal dan bersetuju dengan dakwaan bahawa berlaku campur tangan pihak tertentu dalam keputusan berkenaan.
Situasi yang berlaku ini dijangka menyaksikan gelombang bantahan daripada calon tewas dalam pemilihan tersebut.
Tidak mustahil keputusan pemilihan berkenaan berpotensi dibatalkan sekiranya ramai membuat permohonan bantahan tersebut.
Sementara itu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR belum menerima sebarang rayuan rasmi daripada ahli parti yang tewas dalam pemilihan peringkat cabang baru-baru ini.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil menerusi sidang media di Putrajaya pada Rabu.
Apa yang pasti, PKR selaku parti yang memimpin kerajaan pada hari ini, perlu menunjukkan contoh dan teladan baik dari segi integriti kepimpinan kepada masyarakat.
Apa sahaja keputusan yang dibuat pada masa akan datang, tentunya menjadi cerminan terhadap kecekapan dan kebijaksanaan parti dalam menguruskan krisis.