ANAK tempatan, senang didekati dan dikenali ramai antara kelebihan dimiliki calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek untuk menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), Sabtu ini.
Selaku anak tempatan dan Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin juga dilihat mudah bergaul dengan pengundi sepanjang kempen berlangsung.
Pensyarah Program Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, berdasarkan pemerhatiannya, Abd Muhaimin juga memiliki kemahiran komunikasi yang baik.
**media[3097765]**
“Contohnya, dari segi pengucapan awam, bagi saya beliau seorang pemidato yang baik, ceramahnya menarik perhatian pendengar.
“Dalam aspek komunikasi interpersonal pula beliau dilihat mesra dan pandai menyatuni pengundi, tidak kekok dan tidak dibuat-buat,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, Mohd Yusri menegaskan, dalam konteks DUN Ayer Kuning, pilihan utama pengundi pada 26 April nanti adalah berdasarkan faktor parti, manakala calon dan isu berada di tempat kedua dan ketiga.
“Sebab itu saya melihat menang atau kalah calon PN ini nanti bukan sepenuhnya disebabkan oleh faktor keterampilan beliau, tetapi kerana faktor utama adalah pengundi memilih berdasarkan parti politik yang diwakili,” jelasnya.
Kelemahan
Mohd Yusri berkata, antara kelemahan calon PN adalah terpalit dengan isu tauliah mengajar agama yang timbul di peringkat awal kempen PRK DUN Ayer Kuning.
Mohd Yusri berkata, tindakan PN menggunakan isu kandang babi juga kini menjadi senjata makan tuan kerana perkara itu sudah lama dibangkitkan masyarakat setempat.
Ini kerana pemimpin Pas dan Bersatu sendiri tidak melakukan sebarang tindakan berkesan untuk menangani isu terbabit semasa mereka menjadi sebahagian kerajaan negeri.
**media[3097764]**
“Isu kandang babi memang jadi sungutan penduduk setempat, bahkan sejak lama.
“Namun apabila dijadikan modal kempen oleh PN, saya melihat isu ini lebih banyak jadi backfire kepada PN,” ujarnya.
Mohd Yusri berkata, antara kelemahan lain adalah kerusi DUN Ayer Kuning bukan kawasan kubu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Jelasnya, DUN berkenaan adalah kubu kuat BN dan UMNO sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
Malah, biarpun berhadapan dengan kebangkitan Gelombang Hijau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, namun BN tetap menang kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti lebih 2,000 undi.
Mohd Yusri menjelaskan peluang PN menang kerusi DUN Ayer Kuning dalam PRK Sabtu ini juga masih samar-samar.