KEKUATAN sebagai anak tempatan yang mempunyai latar belakang undang-undang menjadi antara kelebihan yang boleh disandarkan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40 untuk meraih undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, kehadiran Bawani ketika hari penamaan calon dengan menaiki sebuah traktor yang menjadi simbol perjuangan parti itu juga mampu membawa mesej positif kepada rakyat tempatan.
Jelas beliau, isu-isu tempatan dibawa Bawani yang juga Timbalan Setiausaha Agung parti itu juga sedikit sebanyak akan memberi kelebihan.
**media[3097704]**
“Dari segi kekuatan, mungkin dia anak tempatan, kedua latar belakang pendidikan, ketiga isu yang dibawa isu sosial yang rapat dengan masyarakat.
“Tapi dari segi fokus isu tempatan mungkin akan beri kelebihan dan ini kali kedua dia bertanding...dia juga biasa dengan demografi, geografi di sana...simbol traktor itu juga penting.
“Di Ayer Kuning kita juga tahu komposisi kaum multi etnik juga memainkan peranan besar.
“Barangkali isu yang dibawa itu penting untuk rakyat tempatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini, Bawani mengemukakan tiga usul utama bagi memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan rakyat di DUN Ayer Kuning sekiranya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri.
Antara usul yang akan dibawa ialah mempromosikan Skim Peduli Kesihatan untuk B40 anjuran Kementerian Kesihatan yang menyediakan saringan percuma bagi penyakit kurang darah, diabetes dan komplikasi buah pinggang kepada penerima bantuan kerajaan berusia 40 tahun ke atas.
Kelemahan
Mengulas lanjut, Sivamurugan menambah, meskipun membawa suara rakyat tempatan, pengaruh politik dari calon PSM disifatkan tidak setanding calon dari dua gabungan parti besar negara, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Justeru katanya, menjadi persoalan sejauh mana usaha memperjuangkan isu tempatan dapat memberi kemenangan kepada calon PSM.
“Walaupun calon PSM pernah menang di tempat lain, tapi Bawani kalah dengan hilang deposit pada pilihan paya negeri (PRN) lepas,” katanya.
**media[3097761]**
Tambah Sivamurugan, beberapa faktor juga menjadi kelemahan buat Bawani meningkatkan sokongan termasuk gerak kerja kempen yang amat terhad berbanding calon UMNO dan Pas.
Katanya, Bawani juga banyak bergantung kepada perhubungan peribadi dan kekeluargaan untuk cuba menarik sebanyak mungkin sokongan.
“Tapi saya tak nampak ia boleh bawa kepada pola pengundian di situ.
“Gerak kerja kempen dan politik penting...kemudian jentera dan juga guna tenaga terhad berbanding BN dan PN...pemukiman dari seluruh negara ada di situ yang jaga PDM (pusat-pusat daerah mengundi) tertentu. Itu yang sukar dilakukan Bawani di sini,” ujarnya.
Untuk rekod, PSM mendapat bantuan dan sokongan daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam kempen tersebut.