SHAH ALAM - DAP sekali lagi menegaskan bahawa parti itu tidak mempunyai sebarang niat atau agenda untuk mengubah atau meminda perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan berkata, pendirian itu konsisten sejak dahulu dan selari dengan perjuangan parti yang sentiasa mengikut lunas undang-undang serta sistem demokrasi berperlembagaan.
“Saya ingin tegaskan sekali lagi, DAP sentiasa menjunjung, menghormati dan mempertahankan perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Ini termasuk Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Orang Asal Sabah dan Sarawak, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan serta hak dan kepentingan sah kaum serta masyarakat lain dalam Malaysia.
“Pendirian ini telah dinyatakan berkali-kali oleh pemimpin-pemimpin parti dan para perwakilan dalam persidangan serta kongres parti,” katanya di Facebook pada Rabu.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa DAP tidak dapat meminda Perlembagaan Persekutuan walaupun dengan 148 kerusi Parlimen.
Asyraf Wajdi dilaporkan berkata, UMNO bakal membiarkan agenda perjuangan Islam dan Melayu tergadai adalah tidak berasas memandangkan sebarang pindaan terhadap perkara berkaitan kedudukan Islam dan hak istimewa Melayu memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.
Syahredzan turut menggesa semua pihak termasuk rakan dan lawan politik untuk tidak terus memainkan sentimen tidak berasas terhadap parti itu berhubung perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Perjuangan DAP adalah demi negara Malaysia untuk rakyat Malaysia. Perjuangan ini mengikut lunas undang-undang dan dapat dibuktikan melalui penglibatan DAP secara konsisten dalam proses demokrasi dan pilihan raya negara.
“Saya menyeru semua pihak, sama ada kawan atau lawan, untuk tidak lagi mempersoalkan pendirian DAP mengenai perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.