Lapor SPR jika berlaku perlanggaran etika kempen - Saarani

TAPAH - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) boleh mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya berlaku pelanggaran etika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang laporan termasuk penyalahgunaan sumber kerajaan perlu dibuat ke saluran rasmi agar siasatan dapat dilakukan secara menyeluruh.

"Kalau betul, Bersih boleh melaporkan kepada SPR. Biarlah SPR yang membuat keputusan dan siasat," katanya kepada pemberita.

Pada Selasa, Bersih mendakwa berlaku pelanggaran prinsip pilihan raya apabila Menteri Besar Perak hadir pada program 'Town Hall Bersama Anak Muda' di Kompleks Sukan Tapah yang turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir.

Mengulas lanjut, Saarani menolak dakwaan kehadiran beliau bagi tujuan berkempen, sebaliknya memenuhi tanggungjawab sebagai Menteri Besar yang dijemput merasmikan majlis rasmi.

Katanya, bagi calon pula, aktiviti kempen turun padang bertemu masyarakat di pelbagai lokasi bukanlah satu bentuk pelanggaran kerana matlamatnya untuk bertemu seramai mungkin pengundi.

"Bukan senang calon nak jumpa semua 31,897 orang pengundi.

"Mana-mana tempat yang ada orang berkumpul, di situlah calon kena pergi. Itu ruang paling mudah untuk dia jumpa pengundi," ujarnya.

Terdahulu, Saarani hadir merasmikan Program Seminar Keibubapaan anjuran Yayasan Perak di Sekolah Menengah Sains Tapah di sini pada Rabu.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan dan Pengarah Pendidikan Perak, Safuan Rabaai.