Ahli PKR bijak memilih, tidak terikat budaya ‘chai’

SHAH ALAM - Budaya ‘chai’ atau senarai pilihan bagi pasukan tertentu yang selama ini sinonim dalam parti dilihat tidak berlaku dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada kali ini.

Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, ia kerana pemilihan tersebut menyerahkan sepenuhnya kawalan undian kepada ahli parti dalam memilih pemimpin mereka.

“Sebab itu ada ketua yang dipilih dalam kem A, kemudian timbalan ketua dipilih dari kem B. Mungkin ahli parti melihat siapa yang boleh buat kerja, sebab itu mereka gabungkan.

“Kalau sebelum ini kita terikat dengan budaya ‘çhai’ atau fenomena kepala dan ekor kena sama, maksudnya jika ketua kem A, timbalan ketua mesti daripada kem A.

“Itu seolah-olah kita mengatakan orang PKR 'cikai' dan hanya pilih ikut senarai, tetapi malam ini dibuktikan bahawa orang PKR bijak memilih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Wacana Sinar edisi-477 membincangkan tajuk Pemilihan PKR: Cerita ‘badan tanpa kepala’, bertempat di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

**media[3097687]**

Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan turut mengundang calon Ketua Cabang PKR Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Rahman sebagai panel wacana.

Dalam pada itu, Syed Badli Shah mengakui kewujudan ‘tangan ghaib’ berlaku dalam proses pemilihan parti sebelum ini.

Menurutnya, bagaimanapun pemilihan kali ini tidak berlaku sebarang campur tangan seperti yang didakwa memandangkan mekanisme proses pengundian telah ditambah baik berbanding sebelumnya.

“Saya setuju bahawa memang wujud ‘tangan ghaib’ itu. PKR melalui proses pemilihan ini sudah tempoh 26 tahun dan pengundian itu semakin berubah kepada lebih baik sehingga 2025, kita boleh undi melalui telefon sendiri.

“Sistem keselamatan sedia ada seperti kod pas pengesahan transaksi (OTP) dan swafoto untuk mengundi, sukar untuk berlaku sebarang manipulasi.

“Natijahnya, daripada kekacauan kita lihat (dalam pemilihan sebelum ini) ada pergaduhan dan pertikaian, tapi tahun ini alhamdulillah saya belum pernah mendengar lagi meja terbalik, kerusi patah atau sebarang keganasan melibatkan pemilihan,” ujarnya.