SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menyediakan pusat undian satelit di Kuching dan Kota Kinabalu bagi memudahkan sebahagian Ahli Jawatankuasa (AJK) cabang dari Sabah dan Sarawak mengundi dan menyertai Kongres Nasional 2025 secara fizikal.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi memastikan penglibatan penuh wakil dari wilayah Borneo dalam kongres yang dijadual berlangsung pada 23 hingga 25 Mei di Johor Bahru.
“Sebahagian AJK cabang Sabah dan Sarawak wajib hadir secara fizikal untuk mengundi di pusat undian satelit. Senarai penuh akan diumum kemudian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kongres kali ini dijangka menyaksikan kehadiran kira-kira 10,000 perwakilan secara fizikal dan 20,000 lagi akan mengundi secara dalam talian.
Hari pertama (23 Mei) akan menampilkan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK), diikuti Kongres Nasional pada 24 dan 25 Mei.
Dalam perkembangan lain, Fuziah turut memaklumkan MPP telah menetapkan dasar baharu untuk menggugurkan keahlian calon pemilihan yang didapati menyertai parti lain selepas bertanding.
“Anggota yang bertanding tetapi kemudian menyertai parti lain akan gugur keahlian serta hilang kelayakan sebagai calon,” ujarnya.