KUANTAN - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Rizal Jamin gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Lipis apabila tewas pada pemilihan, Sabtu lalu.
Berdasarkan keputusan yang disahkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Rizal yang juga Ketua Pakatan Harapan (PH) Pahang kalah kepada pencabarnya, Mohd Hasim Mansor.
Rizal, antara lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan yang mengangkat sumpah tahun lalu, hanya menerima 421 undi berbanding 516 undi diperoleh Mohd Hasim.
Nama besar lain di Pahang yang tewas pada pemilihan kali ini termasuk ADUN Teruntum, Sim Chon Siang.
Chon Siang yang juga Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri tewas kepada Fakhrul Anuar Zulkawi bagi jawatan Ketua Cabang PKR Kuantan.
Beliau memperoleh 575 undi manakala Fakhrul Anuar selaku pemenang mendapat 659 undi.
Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Cabang PKR Indera Mahkota.
Turut menang tanpa bertanding ialah Wan Fauzuldin Wan Samad (Paya Besar), Mohamad Yazid Che Mat (Pekan) dan Mohd Hafez Harun (Kuala Krau).
Di Bera, Ahli Dewan Negara, Manolan Mohamad mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR apabila menang dengan 225 undi, menewaskan pencabarnya, Mohamed Jidi Yaakob yang memperoleh 186 undi.
Pertembungan empat penjuru di Jerantut menyaksikan Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dipilih sebagai Ketua Cabang PKR kawasan itu selepas memperoleh 471 undi, menewaskan Nohd Hasnizam Md Daud (407 undi), Muhammad Khairul Asri Badrun (360 undi) dan Mohamad Rafly Mohd Satar (243 undi).
Sementara itu, jawatan Ketua Cabang PKR turut dimenangi oleh Sia Wei Lung (Maran), Mohd Amran Jalaluddin (Temerloh), Jeffry Nizam (Bentong), Abdul Rahim Sulaiman (Rompin), G Sivanandar (Raub) dan Ismail Mohd Hussin (Cameron Highlands).