PRK Ayer Kuning: Manifesto calon BN sudah siap

TAPAH - Manifesto bagi calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dijangka diumumkan Isnin ini.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, draf manifesto tersebut akan dimuktamadkan selepas mengadakan perbincangan dengan Mohamad Yusri.

"Manifesto peringkat negeri telah siap tetapi sudah pasti sebagai calon yang bakal dipilih menjadi wakil rakyat, beliau ada inspirasinya sendiri dalam mencorakkan Ayer Kuning

"Tarikhnya akan diputuskan malam ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Jelajah AIM TVET bersama Cikgu Saarani di Kompleks Sukan Tapah di sini pada Sabtu.

Tambah Saarani, pihaknya menerima maklum balas positif berhubung gerak kerja jentera parti dalam membantu kempen calon Kerajaan Perpaduan itu.

"Semua yang turun padang memberi laporan positif kepada kami. Saya cukup yakin kita akan menang tetapi jangan ambil mudah perkara ini kerana kemenangan bergantung kepada bilangan kertas undi.

"Di atas kertas memang mendahului tetapi semua orang perlu balik dan mengundi BN kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya kira kertas undi dalam tong sahaja," katanya.

Beliau menyarankan pengundi yang berada di luar kawasan untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada 26 April nanti.