PASIR PUTEH – Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ketua Tentera Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing sebagai tindakan yang tepat dan selari dengan peranan Malaysia sebagai peneraju dalam isu kemanusiaan serantau.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, langkah itu menunjukkan kualiti seorang pemimpin berjiwa besar yang menjiwai semangat Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan tidak hanya melihat krisis Myanmar dari sudut politik semata-mata.
**media[3091253]**
“Tindakan Perdana Menteri menunjukkan seorang negarawan yang berkualiti dan hebat.
“Ini soal pimpinan ASEAN yang berjiwa ASEAN, membantu negara yang sedang dilanda ujian seperti gempa bumi baru-baru ini dan pertemuan itu satu langkah yang sangat baik,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Rahmah Mesra Madani bersama nelayan di Penempatan Semula Nelayan Tok Bali, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, pendekatan Malaysia itu membuktikan negara ini berada di hadapan dalam usaha menangani isu kemanusiaan secara tuntas dan tidak mengambil sikap tunggu dan lihat.
“Kita benar-benar menunjukkan Malaysia adalah negara yang memimpin pada tahun ini,” katanya.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Anwar selaku Pengerusi ASEAN bertemu Min Aung Hlaing dalam pertemuan tertutup di Bangkok, Thailand pada Jumaat bagi membincangkan usaha lanjutan gencatan senjata pasca gempa bumi 28 Mac lalu.
Junta Myanmar sebelum ini mengisytiharkan gencatan senjata sehingga 22 April, selepas bencana bermagnitud 7.7 itu menyebabkan sekurang-kurangnya 3,700 nyawa terkorban dan lebih 60,000 penduduk hilang tempat tinggal.
Namun, pemantau konflik mendakwa serangan udara masih dilancarkan secara berterusan oleh tentera junta meskipun gencatan senjata diumumkan.
Kenyataan rasmi junta juga tidak menyebut sebarang gesaan untuk perdamaian, sebaliknya hanya memaklumkan fokus perbincangan tertumpu kepada kerjasama pasca bencana.
Pada hari sama, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), Mahn Winn Khaing Thann iaitu kerajaan bayangan yang menentang pemerintahan junta tentera Myanmar.