Rombakan kabinet: Pelantikan menteri DAP tidak terjejas

SHAH ALAM – DAP tidak merancang sebarang rombakan barisan menterinya dalam kabinet walaupun keputusan pemilihan parti pada 16 Mac lalu menyaksikan perubahan dalam kepimpinan tertinggi parti itu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan bahawa keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) tidak akan menjejaskan pelantikan wakil parti dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk menteri dan timbalan menteri, walaupun jika berlaku rombakan kabinet pada Disember apabila tempoh Senator bagi Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tamat.

“Saya tidak nampak keperluan untuk itu. Jika ada yang mengatakan kita akan rombak (barisan menteri DAP) pada Disember, itu hanyalah spekulasi semata-mata. Saya tiada rancangan sedemikian buat masa ini,” katanya, memetik laporan Malaysiakini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara podcast berbahasa Cina bersama Malaysiakini yang mengupas penggal keduanya sebagai Setiausaha Agung serta barisan kepimpinan baharu DAP.

Menurut Anthony, DAP mengekalkan pendirian bahawa sebarang pelantikan jawatan menteri dibuat berdasarkan pertimbangan menyeluruh termasuk representasi negeri.

Ketika ini, dua wakil DAP dalam kabinet iaitu Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran tidak berada dalam senarai CEC baharu.

Hui Ying tewas dalam pemilihan CEC pada 16 Mac lalu manakala Kulasegaran tidak bertanding.

Mengulas mengenai prestasi Hui Ying, Anthony menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai, namun menegaskan setakat ini beliau menjalankan tugasnya dengan baik.

“Beliau tidak melakukan sebarang kesilapan besar. Selain itu, beliau juga merupakan Setiausaha DAP Pulau Pinang. Setiap negeri perlu diwakili secara seimbang, itu antara pertimbangan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam temu bual bersama radio BFM pada 3 Mac lalu memaklumkan akan melepaskan jawatan pada Disember ini apabila tempohnya sebagai Senator tamat.

Beliau turut menolak kemungkinan akan bertanding semula dalam pilihan raya kecil untuk kembali ke Parlimen dan menyertai kabinet.

Situasi itu membuka kemungkinan berlaku rombakan kabinet hujung tahun ini bagi mengisi kekosongan jawatan menteri berkenaan.

Pada masa sama, pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan berlangsung Mei ini juga dilihat berpotensi membawa perubahan dalam barisan kabinet Kerajaan Perpaduan.