DAP Pahang sedia jadi orang tengah selesai isu kebun durian haram

SHAH ALAM - DAP Pahang menawarkan diri sebagai pengantara bagi menyelesaikan kemelut kebun durian yang diusahakan secara haram di negeri itu, khususnya di Raub dan Bentong.

Dalam satu kenyataan, DAP Pahang berkata, pihaknya menjunjung titah Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah serta mengakui kewujudan pekebun yang telah mengusahakan tanah kerajaan di Raub tanpa kebenaran sejak beberapa dekad lalu.

“Kami bersedia memainkan peranan sebagai jambatan antara kerajaan negeri dan pekebun bagi membuka ruang rundingan konstruktif demi mencari penyelesaian baik secara harmoni.

“Ia bagi meningkatkan hasil kepada kerajaan negeri serta memastikan sektor pertanian di seluruh negeri dapat diurus secara tersusun dan mampan demi kesejahteraan semua pihak,” kata parti itu.

Sebelum ini, tular kekecohan yang berlaku semasa operasi penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah kerajaan di Sungai Klau, Raub, pada 8 April lalu melibatkan tanaman durian, sawit dan hasil bumi lain.

Susulan itu, Sultan Pahang menzahirkan ketegasan bahawa aktiviti pencerobohan tersebut merupakan satu bentuk 'rompakan terbuka' terhadap harta kerajaan dan perlu dihentikan serta-merta.

Baginda turut menegaskan bahawa tiada sebarang kelulusan baharu akan diberikan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) terhadap mana-mana permohonan berkaitan tanah yang telah diceroboh secara haram.

Dalam pada itu, DAP Pahang berkata, industri durian Musang King di Raub telah berkembang menjadi satu jenama dikenali di peringkat antarabangsa.

Katanya, pekebun berhasrat memberi kerjasama kepada kerajaan negeri bagi membangunkan industri durian ke tahap lebih tinggi, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.