Perang bendera, poster di DUN Ayer Kuning makin rancak

TAPAH - Perang bendera dan poster antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) semakin rancak di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, selepas seminggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) berlangsung.

Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa kawasan seperti Pusat Perniagaan Ayer Kuning (PPAK), Tapah Road, Kampung Tanjung Keramat, Kampung Raya, Pekan Getah dan Changkat Petai dihiasi dengan poster serta bendera parti bertanding.

**media[3091366]**

Pemerhatian awal mendapati kempen pada minggu pertama tidak terlalu panas dari segi persaingan jumlah bahan kempen seperti bendera dan poster, namun lebih tertumpu kepada isu peribadi calon, setempat serta nasional.

Bagaimanapun, suasana dijangka bertambah hangat memasuki minggu kedua selepas pemimpin tertinggi BN dan PN mula turun padang menyantuni pengundi setempat selain mempengerusikan mesyuarat jentera.

**media[3091364]**

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan calon BN, PN dan PSM.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Dewan Merdeka Tapah, selepas tempoh penamaan calon berakhir jam 10 pagi.

BN mempertaruhkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, yang juga bekas pensyarah dan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.

Beliau ditentang Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, mewakili PN, serta Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS, 40.