Pemilihan PKR: Kepimpinan Adam Adli diperlukan pacu kejayaan parti

KUALA TERENGGANU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu memberi sokongan penuh terhadap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim sebagai calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pemilihan akan datang.

Ketua AMK Terengganu, Md Asyraf Zulfadhly Md Zainudin berkata, Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu dilihat memiliki keupayaan, visi, dan kepimpinan yang diperlukan untuk terus memacu parti ke arah kejayaan lebih gemilang.

Menurutnya, keputusan beliau untuk bertanding jawatan tersebut mencerminkan semangat kepimpinan yang kukuh selain komitmen beliau dalam memperjuangkan agenda reformasi dan kemajuan parti.

"Sebagai pemimpin yang sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan dan perubahan, kami yakin bahawa pengalaman serta pandangan beliau sepanjang menjadi ketua AMK akan memberi impak positif dalam memperkukuh kekuatan PKR di peringkat nasional.

"AMK Terengganu turut bersedia untuk memberikan sokongan sepenuhnya bagi memastikan beliau dapat membawa suara anak muda ke peringkat tertinggi dalam parti ini," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Media pada Sabtu lalu melaporkan Adam Adli mengesahkan hasratnya untuk bertanding kerusi MPP pada pemilihan parti berkenaan yang dijadualkan pada Mei depan.

Adam Adli berkata, hasrat itu adalah sebagai salah satu cara untuk beliau terus menyumbang jasa dalam parti.

Justeru, Md Asyraf Zulfadhly berharap semua ahli akan memberikan sokongan padu kepada Adam Adli dalam pemilihan MPP akan datang demi memastikan kesinambungan perjuangan parti dan kebaikan rakyat.

Pada 26 Januari lepas, PKR dilaporkan memutuskan untuk mengadakan pemilihan bagi jawatan MPP, Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan.

Pemilihan peringkat cabang dijadual berlangsung dari 11 hingga 20 April ini, manakala pemilihan pucuk pimpinan pusat akan diadakan pada 24 Mei.

Pemilihan PKR kali ini juga dijangka 'panas' apabila Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dilaporkan berkata, parti itu berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.