KOTA BHARU - Pas menyokong cadangan pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya kerana kedua-duanya mempunyai bidang kuasa berbeza selain tidak mengganggu perundangan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pernah mengusahakan perkara itu ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).
"Saya tidak nampak perkara ini satu yang sukar kerana kita pernah menekankan perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel selepas Forum Khas Bandar Raya Islam di Madinah Ramadan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Khamis.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah.
Sebelum ini media melaporkan delegasi Malaysia diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berada London membuat kajian empirikal lebih terperinci mengenai konsep pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang diamalkan di United Kingdom (UK).
Takiyuddin yang juga Ketua Whip Pembangkang turut memberi contoh negeri di Kelantan yang mempunyai penasihat undang-undang dan Pendakwa Raya dengan tugas berbeza.
"Penasihat undang-undang tidak pergi ke mahkamah kerana tugasnya menasihati kerajaan manakala Pendakwa Raya pula melaksanakan kes-kes mahkamah.
"Begitu juga Peguam Negara merupakan penasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dan Kabinet sama seperti penasihat undang-undang negeri yang menasihati Sultan dan kerajaan negeri," katanya.
Jelas beliau lagi, pengasingan kuasa tidak akan mengganggu perundangan kerana kuasa hampir mutlak mengikut Perkara 145 Perlembagaan iaitu kuasa mendakwa, menarik balik kes dan menangguh kes berada di bawah Peguam Negara.