KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) akan menghantar surat kepada kerajaan Pusat selewat-lewatnya minggu ini bagi membincangkan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang.
Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya mahu mendapatkan perincian oleh kerajaan khususnya yang dimaksudkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut beliau, Fadillah sebelum ini memaklumkan boleh berbincang dan menubuhkan jawatankuasa perundingan.
"Dalam kepimpinan Perdana Menteri sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus menubuhkan jawatankuasa untuk kita bincang terma-termanya dan akhirnya kita berjaya (terima peruntukan)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel selepas Forum Khas Bandar Raya Islam di Madinah Ramadan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Khamis.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah.
Beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai penghantaran
Memorandum Persefahaman (MoU) sebelum ini.
"Tiba-tiba hantar kepada kita, saya tak nak ulas banyak, sepatutnya tubuh jawatankuasa terus berkenaan cadangan kerajaan sama ada kita boleh setuju atau sebaliknya," katanya.