Cadangan Pas daftar pengundi luar khianati amanah rakyat Selangor - Rodziah

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan tegas bagi memastikan daftar pemilih tidak dimanipulasi susulan dakwaan Pas cuba mendaftarkan pengundi luar di Selangor.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Rodziah Ismail berkata, tindakan tersebut bukan sahaja tidak beretika malah mencemarkan prinsip demokrasi yang berasaskan representasi sebenar penduduk tempatan.

“Mengundi bukan hanya strategi politik, ia adalah hak dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan jujur.

“Mendaftarkan pengundi luar untuk kepentingan politik bukan sahaja mempermainkan sistem pilihan raya tetapi mengkhianati amanah rakyat Selangor,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ahli Parlimen Ampang itu menambah, tindakan mendaftar pengundi luar turut mencerminkan ketandusan idea dan kegagalan Pas untuk menambat hati rakyat negeri berkenaan secara telus.

“Jika mereka (Pas) benar-benar yakin dengan sokongan rakyat, mengapa perlu bergantung kepada taktik kotor seperti ini?

“Justeru, kami menggesa SPR untuk mengenakan tindakan tegas dalam memastikan pendaftaran pemilih tidak disalahgunakan.

“Mana-mana pihak yang didapati terlibat harus dikenakan tindakan sewajarnya agar integriti sistem pilihan raya terus terpelihara,” katanya.