Hasrat Tengku Zafrul bersifat peribadi, bukan petanda perpecahan UMNO

SHAH ALAM - Hasrat Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk meninggalkan UMNO dilihat bersifat peribadi dan tidak menandakan berlaku perpecahan dalam parti tersebut.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, langkah berkenaan juga tidak menjejaskan kestabilan parti kerana ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) itu bukan antara pemimpin yang berpengaruh dalam UMNO.

“Kalau lihat sejarah UMNO, ada presiden parti sendiri yang berhenti atau keluar parti. Terdapat juga pimpinan UMNO dipecat dari parti.

“Jadi senario perubahan dalam parti bukan perkara luar biasa, mana-mana parti pun mengalami perkara sama.

“Tidak ada individu mempunyai pengaruh yang sangat besar sehingga melemahkan parti,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Tengku Zafrul telah menyatakan hasrat untuk meninggalkan parti itu kepadanya pada minggu lepas.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau telah menasihati Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu untuk tidak membuat keputusan tergesa-gesa dan setakat ini, Tengku Zafrul masih lagi ahli UMNO.

Mengulas lanjut Ahmad Marthada berkata, Tengku Zafrul wajar mempertimbangkan semula nasihat Ahmad Zahid untuk tidak membuat keputusan tergesa-gesa berhubung hasrat tersebut.

Menurutnya, ini kerana Tengku Zafrul mempunyai kredibiliti sebagai ahli MKT UMNO dan potensi kerjaya jangka masa panjang.

“Seeloknya beliau (Tengku Zafrul) memikirkan semula hasrat untuk meletakkan jawatan dengan mengambil kira nasihat dari Presiden UMNO.

“Dari satu sudut, sumbangan beliau sebelum ini terhadap UMNO juga diambil kira. Selain itu, oleh kerana beliau masih lagi memegang jawatan menteri Kabinet mungkin mempunyai peluang untuk terus berada di Kabinet,” ujarnya.

Tambahnya, keputusan Tengku Zafrul juga tidak mencerminkan keadaan dalaman UMNO ketika ini.

“Mungkin ini isu peribadi dan Tengku Zafrul ada hasrat serta aspirasi beliau sendiri.

“Aspirasi beliau pula tidak ada kena mengena dengan parti. Jadi pada saya, ia bukan sesuatu yang melemahkan parti kerana hasrat itu lebih bersifat individu,” tambah beliau.