'Saya ada tanggungjawab lebih besar' - Saravanan

TAPAH - Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan enggan lagi melayan sebarang jemputan atau desakan pertemuan bersama Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu.

Beliau berkata, keputusan dibuat sebelum ini untuk membatalkan hasrat debat berkaitan agama dengan pendakwah bebas itu, adalah muktamad.

Menurutnya, sebagai wakil rakyat, beliau mempunyai tanggungjawab lebih besar menjaga keharmonian rakyat di semua peringkat termasuk nama baik parti dan kerajaan.

"Kalau ada pihak sebelah sana kata kenapa (saya) lari dan sebagainya..saya dah tak kisah.

"Saya ada pengundi. Apabila ada saranan daripada parti dan kerajaan supaya mengelak isu-isu seperti ini, maka saya perlu akur," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada masjid dan surau dalam Parlimen Tapah di sini pada Khamis.

Pada Rabu, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menggesa agar Menteri Perpaduan Negara menyelesaikan ketegangan antara Saravanan dan Muhammad Zamri termasuk mengaturkan pertemuan tertutup antara kedua-duanya.

Saravanan dilapor menarik diri daripada debat selepas mendapat nasihat bersama daripada Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, Kementerian Perpaduan Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Fokus debat itu dikatakan untuk membetulkan tuduhan Muhammad Zamri melalui fakta apabila ada tuduhannya mengenai 'wel-wel' dan pengambilan kavadi dikatakan 'dalam keadaan mabuk dan minum todi'.