Penyokong Pas tetap balik mengundi di tempat asal - Takiyuddin

KOTA BHARU - Penyokong Pas yang bermastautin di Selangor tetap akan pulang mengundi di tempat asal mereka berdasarkan situasi sebelum ini terutama di Kelantan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas Selangor hanya boleh menyuarakan pendapat mereka tetapi bergantung kepada individu atau pengundi terbabit.

"Saya berpendapat pengundi akan tetap balik mengundi di tempat asal terutama dengan sikap orang Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel Forum Khas Bandar Raya Islam di Madinah Ramadan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah.

Ketika ditanya kemungkinan cadangan itu akan merampas pengundi dari negeri lain, kata Takiyuddin, masing-masing ada kepentingan sendiri untuk mendapatkan lebih ramai penyokong.

"Kita pun memerlukan penyokong namun terserah kepada individu itu sendiri tetapi saya rasa sudah berapa lama pengundi luar balik mengundi di Kelantan atas sebab mereka sendiri yang tahu," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Pas Selangor menyuarakan harapan supaya penyokong yang bermastautin di negeri itu dapat berdaftar sebagai pengundi di Selangor pada pilihan raya umum akan datang dalam usaha merampas pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

Pesuruhjayanya, Ab Halim Tamuri berkata, harapan itu khususnya bagi penduduk Selangor yang berasal dari negeri-negeri yang ditadbir Pas seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.