SHAH ALAM - Pendirian Jemaah Menteri mengekalkan status quo berkaitan pembabitan umat Islam ke majlis atau upacara rumah ibadat bukan Islam mencerminkan komitmen Kerajaan Madani menjaga perpaduan dalam negara.
Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Pang Sock Tao berkata, keputusan itu juga memupuk interaksi harmoni antara penganut pelbagai agama serta memelihara kebebasan rakyat Malaysia bergaul dan menjalankan sebarang kegiatan yang sihat.
"Saya berharap di masa depan, setiap cadangan dasar kerajaan yang sensitif perlu dibincangkan secara inklusif terlebih dahulu dengan mengambil kira sensitiviti semua pihak bagi memperkukuh keharmonian negara.
"Bagi saya tidak salah belajar daripada kesilapan, jangan umum sesuatu dasar atau peraturan sebelum mendapat kelulusan Jemaah Menteri kerana ia penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu berkata, keharmonian negara merupakan aset yang perlu dihargai dan dipelihara bersama.
"Amat mudah untuk bercakap tentang keharmonian negara, tetapi impian itu perlu diterjemahkan kepada tindakan, kesabaran dan keyakinan antara satu sama lain.
"Marilah kita terus angkat semangat perpaduan dan jauhi pihak yang memecah belah rakyat Malaysia," katanya.
Jemaah Menteri pada Jumaat memutuskan tiada keperluan untuk mewujudkan garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet pagi ini dan akan dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
Terdahulu, menerusi kenyataan bersama oleh Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, menegaskan bahawa setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira aspek perpaduan rakyat serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.