KOTA KINABALU - Keputusan Jemaah Menteri bahawa tiada keperluan untuk mewujudkan garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain menunjukkan kerajaan Perpaduan prihatin terhadap sentimen rakyat mengenai isu perkauman dan keagamaan.
Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, keputusan itu juga disifatkan sebagai langkah yang paling tepat dan wajar.
"Berdasarkan laporan media, garis panduan tersebut hanyalah satu cadangan dan kami memahami bahawa perbincangan masih berlangsung.
"Namun di Sabah, kita sentiasa mengekalkan semangat keharmonian, saling menghormati dan persefahaman antara semua komuniti.
"Keunikan Sabah dan Sarawak, di mana toleransi kaum dan agama sentiasa berada pada tahap tertinggi, wajar diiktiraf," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Joniston yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, umum mengetahui bahawa kerajaan Sabah mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara.
"Namun di peringkat negeri, keperluan badan keagamaan bukan Islam tidak pernah diabaikan.
"Sebagai contoh, tahun ini kerajaan negeri Sabah telah memperuntukkan sebanyak RM70 juta untuk badan keagamaan bukan Islam dan ia meningkat sebanyak RM13.25 juta berbanding peruntukan RM56.75 juta pada tahun 2024.
"Seperti yang sering ditekankan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, kerajaan negeri komited dan sentiasa mengamalkan dasar keadilan serta kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyat, tanpa mengira kaum atau agama, dalam mengekalkan keharmonian dalam masyarakat," katanya.
Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata, di bawah STB turut mempromosikan perpaduan melalui program seperti 'Harmony Walk/Run' yang merangkumi lawatan ke rumah-rumah ibadat.
"Seperti ke Masjid Negeri, Gereja Sacred Heart, Kuil Sikh Gurduwala dan Kuil Buddha Peak Nam Tung bagi menonjolkan keharmonian masyarakat berbilang agama di Sabah," katanya.
Sehubungan itu, Joniston berkata, dialog terbuka dan sikap saling menghormati kepercayaan masing-masing sentiasa menjadi asas dalam interaksi masyarakat di Sabah.
"Pendekatan Sabah sentiasa berteraskan perpaduan melalui penghormatan bersama bukannya menerusi garis panduan yang ketat.
"Kami yakin bahawa masyarakat majmuk di Sabah akan terus berinteraksi antara satu sama lain dengan cara yang mengekalkan nilai-nilai bersama kita," katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang memuktamadkan satu garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain pada penghujung Februari ini.
Beliau memaklumkan, garis panduan itu turut merangkumi penglibatan orang Islam dalam upacara kematian bukan Islam, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.
Bagaimanapun perkara itu dikritik oleh beberapa pemimpin politik bukan Islam antaranya, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang menasihatkan Mohd Na’im supaya lebih berhati-hati dalam menangani isu sensitif ini kerana boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama.
Susulan itu, pada Jumaat, Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet memutuskan tiada keperluan untuk mewujudkan garis panduan tertentu untuk umat Islam berkunjung ke rumah ibadat bukan Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, umat Islam sudah sedia maklum dengan keperluan menjaga akidah masing-masing, dan kunjungan itu dibolehkan selagi niatnya untuk menyantuni masyarakat lain yang berbilang agama dan bangsa.