Pas tidak perlu ubah kepimpinan sebagai persediaan jadi calon PM

SHAH ALAM - Pas melihat tiada keperluan untuk sebarang perubahan dilakukan dalam kepimpinan tertinggi parti itu pada waktu ini.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, perkara itu termasuklah mengenepikan sebarang cadangan bagi pertandingan jawatan Timbalan Presiden Pas sebagai langkah persediaan calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Jelasnya, hal ini kerana barisan kepimpinan sedia ada telah berjaya membawa parti ke tahap lebih kukuh, dihormati dan relevan dalam politik tanah air.

Tambah Mohamed Sukri, dalam Pas, pemilihan kepimpinan bukan sekadar soal pertandingan jawatan, tetapi lebih kepada kesinambungan dan kestabilan kepimpinan demi memperkukuhkan perjuangan parti.

"Kepimpinan sedia ada termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden telah membuktikan keupayaan mereka dalam memimpin parti dengan cemerlang.

"Di bawah kepimpinan ini, Pas terus berkembang, memperkukuh kedudukan dalam landskap politik nasional serta memainkan peranan penting dalam kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Oleh itu, Pas melihat tiada keperluan untuk sebarang perubahan dalam kepimpinan tertinggi pada waktu ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, terdapat cadangan daripada beberapa pemerhati politik berhubung keperluan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden Pas sebagai langkah persediaan calon Perdana Menteri bagi PN dalam PRU16.

Nama-nama seperti Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor antara disebut-sebut sebagai calon sesuai menggalas peranan calon Perdana Menteri PN bagi Pas, sekiranya koalisi itu memenangi PRU16 dan Pas memenangi kerusi Parlimen terbanyak.

Mengulas lanjut, Mohamed Sukri menegaskan Pas sentiasa mengutamakan keputusan secara kolektif dengan sebarang keputusan mengenai kepimpinan utama termasuk calon Perdana Menteri bagi PN, bakal ditentukan melalui musyawarah serta dipandu Majlis Syura Ulama.

"Keputusan ini akan dibuat secara matang, berpandukan kepentingan ummah dan hala tuju perjuangan parti, bukan atas desakan luar atau spekulasi semata-mata.

"Fokus utama Pas adalah memastikan parti kekal bersatu, stabil, dan terus memainkan peranan utama dalam membawa kesejahteraan kepada rakyat serta membangunkan negara.

"Oleh itu, kepimpinan telah terbukti cemerlang ini sewajarnya dikekalkan untuk memastikan kesinambungan perjuangan yang lebih tersusun dan mantap," katanya.