GEORGE TOWN - Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk mencampuri urusan agama Islam di negara ini sebaliknya hanya menjalankan tanggungjawabnya untuk bersuara mengenai isu-isu kepentingan awam.
Rayer berkata, sebagai wakil rakyat, beliau hanya menyuarakan kebimbangan rakyat.
Menurutnya, sebagai warganegara Malaysia, beliau menghormati Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan Malaysia.
"Saya ingin menyatakan bahawa saya sama sekali tidak berniat untuk mencampuri urusan agama Islam di negara ini, khususnya di negeri Perlis.
"Sebagai ahli Parlimen, saya bercakap dalam sidang media saya sebelum ini sebagai wakil rakyat yang menyuarakan kebimbangan rakyat.
"Selain itu, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk bersuara mengenai isu-isu kepentingan awam tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Rayer dari DAP menimbulkan persoalan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kemunculan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik yang sebelum ini dilarang untuk berceramah di negara ini.
Rayer membangkit perkara tersebut susulan laporan sebuah portal berita bahawa Dr Zakir ada membuat ceramah di satu kawasan Parlimen di Perlis, baru-baru ini.
Susulan daripada itu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, beliau bersedia kembali 'bertempur' menentang Ahli Parlimen DAP yang dilihatnya begitu lantang termasuk dalam Parlimen, apabila mempersoalkan program keagamaan yang dianjurkan beliau itu.
Ini susulan penganjuran Konvensyen Sunnah Antarabangsa Perlis (PISC) 2025 pada 24 hingga 27 Januari lalu yang menampilkan 18 penceramah antarabangsa terkenal termasuk pendakwah kontroversi, Dr Zakir.
Mengulas lanjut, Rayer berkata, dalam sidang medianya pada 5 Februari lalu itu, beliau tidak merujuk kepada Mohd Asri sehingga menyebabkan Mohd Asri memberikan reaksi sedemikian.
"Saya juga tidak tahu mengapa Dr Asri yang saya hormati, perlu mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya mengenai 'vibuthi' (abu suci Hindu) yang saya sapukan di dahi saya.
"Sebagai warganegara dan ahli Parlimen, adalah penting bagi saya untuk menekankan bahawa kita mesti menegakkan kedaulatan undang-undang di negara ini tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya.
Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima itu, Ketua Polis Negara masih belum memberikan maklum balas terhadap persoalan yang dibangkitkannya dalam sidang media di Parlimen dua hari lalu.
"Terdapat larangan terhadap Dr Zakir daripada menyampaikan ceramah di mana-mana tempat di Malaysia seperti yang dilaporkan oleh Malay Mail pada 20 Ogos 2019.
"Bolehkah Ketua Polis Negara mengesahkan sama ada larangan ini masih berkuat kuasa?" soalnya.