DAP perlu berhenti campuri urusan umat Islam - Pas Selangor

SHAH ALAM - Pas Selangor meminta DAP supaya lebih bertenang dan berhenti daripada mencampuri urusan akidah umat Islam susulan daripada polemik berkaitan garis panduan pembabitan orang Islam dalam sebarang upacara termasuk di rumah ibadat bukan Islam.

Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad berkata, garis panduan yang akan dibuat untuk orang Islam adalah bagi menjaga kemaslahatan masyarakat dengan kefahaman lebih terperinci dan dapat mengelakkan salah faham.

"Jangan takut kepada Islam dan syariatnya. Untuk makluman pimpinan DAP, Islam adalah agama yang sangat meraikan kepelbagaian kaum dan agama. Islam mengharamkan umatnya untuk berlaku zalim termasuk kepada mereka yang bukan Islam.

"Garis panduan yang diusulkan oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) ini adalah amat penting agar prinsip Islam terus dihormati di samping kita terus mengekalkan keharmonian antara kaum, budaya dan agama dalam negara kita," ujarnya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan bahawa Jakim sedang memuktamadkan satu garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain pada penghujung Februari ini.

Beliau memaklumkan, garis panduan itu merangkumi penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian bukan Islam, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.

Bagaimanapun, cadangan itu ditentang DAPSY, bahkan Ketua Pemudanya, Woo Kah Leong mencadangkan agar kerajaan membatalkan pelaksanaan dan mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung perkara berkenaan.

Terkini dalam kenyataan bersama, Mohd Na'im dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago berkata, setiap dasar yang dirangka berhubung cadangan pelaksanaan garis panduan itu perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.

Ia diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.