Pemuda Amanah akan buat laporan polis terhadap Tong Keong

SHAH ALAM - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional akan membuat laporan polis mengenai kenyataan Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong berkaitan kedudukan istimewa bumiputera Melayu Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketuanya, Mohd Hasbie Muda berkata, kenyataan itu berbaur hasutan serta boleh menggugat keharmonian negara.

Menurut Mohd Hasbie, pihaknya tidak akan berdiam diri terhadap politik kebencian.

"Pemuda Amanah mengecam keras kenyataan Tong Keong. Ini kerana, kedudukan istimewa bumiputera Melayu Islam adalah ketetapan Perlembagaan yang harus dihormati oleh semua pihak, termasuk Gerakan sendiri.

"Tindakannya yang mengkritik DAP kerana tidak bersuara mempertikaikan kedudukan istimewa bumiputera Melayu Islam hanya kerana menerima realiti ini menunjukkan sikap hipokrit dan tidak bertanggungjawab," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Tong Keong mengkritik DAP kerana tidak menentang dasar-dasar yang mengutamakan kaum Melayu secara terbuka.

Kritikan itu timbul apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke tidak pernah membantah kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam sejak tertubuhnya Kerajaan Perpaduan.

Tong Keong turut mengkritik DAP kerana berdiam diri mengenai dasar Islamisasi (keutamaan kepada Islam) yang bertentangan dengan imej parti itu sebelum ini.

Mohd Hasbie berkata, DAP sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan telah menunjukkan kematangan politik dengan menghormati kontrak sosial negara dan ia bukan satu kesalahan.

"Tindakan pemimpin Perikatan Nasional yang cuba memainkan sentimen perkauman demi kepentingan politik amat membimbangkan serta berpotensi menggugat kestabilan negara.

"Malaysia tidak boleh kembali ke era politik perkauman yang boleh mencetuskan ketegangan dan perpecahan dalam kalangan rakyat," jelasnya.