SHAH ALAM - Kritikan Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong terhadap DAP susulan kini lebih berdiam diri dan tidak lagi menentang dasar-dasar mengutamakan kaum Melayu dan Islam setelah berada dalam Kerajaan Perpaduan, membuktikan Perikatan Nasional (PN) mengamalkan politik perpecahan.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, kritikan Gerakan melalui Timbalan Presidennya menunjukkan parti itu sendiri bermasalah dengan kedudukan istimewa orang Melayu yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, meskipun berada dalam koalisi PN.
“Amat jelas Tong Keong hanya mahu membakar sentimen masyarakat Cina kerana mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Cina sahaja. Apa pula pendirian rakan-rakan Gerakan dalam PN iaitu Pas dan Bersatu mengenai kenyataan beliau?
“Pemimpin-pemimpin Pas dan Bersatu yang kononnya mempertahankan hak Melayu dan orang Islam nampak gayanya hanya diam membisu dan tiada reaksi. Adakah mereka juga bersetuju dengan kenyataan Timbalan Presiden Gerakan ini?” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, Tong Keong mengkritik DAP kerana tidak menentang dasar-dasar yang mengutamakan kaum Melayu secara terbuka.
Kritikan ini timbul apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke tidak pernah membantah kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam sejak tertubuhnya Kerajaan Perpaduan.
Tong Keong turut mengkritik DAP kerana berdiam diri mengenai dasar 'Islamisasi (keutamaan kepada Islam)' yang bertentangan dengan imej parti itu sebelum ini.
Dalam pada itu, Syahredzan mendakwa PN mengamalkan dasar pecah dan perintah setelah Pas dan Bersatu bertindak membakar sentimen dalam kalangan orang Melayu manakala Gerakan menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat Cina.
“Politik perpecahan diamalkan oleh PN ini memberi kesan negatif terhadap penyatuan masyarakat Malaysia dan pembinaan negara bangsa.
“PN diseru untuk meninggalkan politik lapuk dan bersama dengan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan demi membina semula negara,” kata beliau.