Veteran UMNO Malaysia sokong cadangan Ahmad Maslan

SHAH ALAM - Veteran UMNO Malaysia menyokong cadangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan agar UMNO Bahagian melantik Pengerusi Veteran parti di kawasan masing-masing sebagai ahli jawatankuasa bahagian.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Salamon Selamat berkata, dalam Konvensyen Veteran UMNO tahun lepas juga telah memutuskan agar Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa menjadi Ahli MKT UMNO.

"Datuk Othman juga telah dilantik menjadi ahli dalam MKT dan kita juga mengharapkan supaya di peringkat negeri, pengerusi veteran negeri jadi ahli jawatankuasa perhubungan.

"Begitu juga di peringkat bahagian, Pengerusi Veterannya menjadi ahli jawatankuasa UMNO bahagian, dengan cara ini pandangan dan kerjasama (veteran) dapat terus dilibatkan di peringkat bahagian," ujarnya kepada Sinar Harian pada Selasa.

**media[2994444]**

Beliau ditemui pada Program Ziarah Kasih Selangor bersama Veteran UMNO Bahagian Shah Alam dan Badan Amal dan Kasih Negeri Selangor (Kasih) di Seksyen 17 dan Seksyen 20 di sini diketuai Yang Dipertua Kasih Selangor, Datin Hanizam Harun.

Terdahulu, Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, langkah itu sebagai mengiktiraf sumbangan veteran yang bukan sahaja terus setia malah masih mampu memberi sumbangan bermakna kepada parti.

Ujarnya, langkah itu juga sejajar dengan pelantikan Othman sebagai Ahli MKT UMNO, akhir tahun lalu.

Tambah Ahmad, jasa ahli-ahli Veteran UMNO perlu diiktiraf kerana mereka turut sama gigih membantu melancarkan gerak kerja kempen pada setiap kali pilihan raya diadakan.

**media[2994442]**

Dalam pada itu, Salamon mengulas lanjut berkata, Ahmad juga telah melantik Pengerusi Veteran UMNO Bahagian Pontian sebagai ahli jawatankuasa.

"Sehubungan itu, kita berharap supaya selepas selesai (pelantikan tersebut) di peringkat nasional dan di peringkat negeri serta bahagian pula akan dapat diteruskan," ujarnya.