KUALA SELANGOR - Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti politik meskipun menyokong Kerajaan Perpaduan.
Menurut Zulkafperi, pendiriannya kekal untuk terus menyokong kerajaan sedia ada tanpa menyertai mana-mana parti politik selepas dilucutkan keahlian daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Saya adalah ahli Parlimen (yang menyokong) kerajaan dan dari segi politik tidak menghala ke mana-mana arah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Jamuan Muhibbah Sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Tanjong Karang di Pusat Penjaja Tanjong Karang pada Selasa malam.
Zulkafperi berkata, keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik hanya dibuat sekiranya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) semakin dekat.
"Buat masa ini, saya hanya membina rangkaian dengan semua komponen baik dengan UMNO, PKR (Parti Keadilan Rakyat), Amanah (Parti Amanah Negara) malah dengan DAP pun kita bekerjasama," katanya.
Mengenai kemungkinan kekal menjadi calon kerusi Parlimen Tanjong Karang dalam PRU16, Zulkafperi berkata, beliau akan mempertahankan kerusi tersebut.
"Insya-ALLAH saya akan pertahankan, cuma tak tahu parti mana, tetapi yang pasti, saya tidak akan bertanding atas tiket bebas," tambah beliau.
Zulkafperi dalam pada itu memberitahu, keputusan beliau menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim langkah tepat terutama bagi memastikan rakyat di Parlimen Tanjong Karang terbela.
"Selepas tidak lagi bersama Bersatu, saya yakin dengan keputusan menyokong kerajaan dan terbukti telah menerima peruntukan dan bantuan daripada kerajaan untuk melaksanakan program," ujar beliau.
Sebelum ini, tujuh wakil rakyat Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Selain Zulkafperi, lima Ahli Parlimen lain iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Mohd Azizi juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Neggiri di Kelantan.
Seorang lagi wakil rakyat yang turut digugurkan keahlian adalah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.