SHAH ALAM - Kepimpinan Barisan Nasional (BN) khususnya sayap Pemuda perlu rasional dan tidak sesekali menembak kaki sendiri kerana ia hanya akan menguntungkan lawan yang sentiasa berusaha melemahkan parti.
Pengarah Komunikasi Pemuda BN, Neow Choo Seong berkata, BN perlu rasional dengan mengutamakan perkara yang lebih besar.
Menurutnya, BN juga perlu berwaspada dengan gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut yang cuba menjejaskan keutuhan parti.
"Kepimpinan BN khususnya Pemuda BN perlu mengadakan pertemuan dengan lebih kerap bagi membincangkan dan menyelesaikan sebarang perbezaan secara baik.
"Kita harus buang yang keruh dan ambil yang jernih demi memastikan BN terus menjadi wadah perjuangan yang kuat dan bersatu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan wujud gerakan untuk menyingkirkan MCA daripada BN.
Sebaliknya tegas beliau, BN tidak pernah membincangkan soal penyingkiran mana-mana parti komponen.
Choo Seong yang juga Ketua Penerangan Pemuda MCA berkata, kenyataan Zahid membuktikan hubungan dalam BN masih kukuh walaupun ada pihak yang cuba menggambarkan sebaliknya.
"Saya menyokong penuh kenyataan Ahmad Zahid dan berpandangan bahawa perbezaan pandangan serta perdebatan kecil adalah lumrah dalam politik.
"Kenyataan ini juga selari dengan komitmen Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong yang sentiasa menegaskan kepentingan memperkuatkan BN," katanya.
Sehubungan itu tegas beliau, MCA kekal komited dalam memastikan BN terus menjadi satu wadah politik yang stabil, inklusif dan diyakini rakyat.
Justeru katanya, dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri atau Pilihan Raya Umum akan datang, kepimpinan BN harus lebih fokus terhadap usaha memperkukuhkan kedudukan parti.
"Ini termasuk peremajaan BN, pengukuhan struktur dan jentera pilihan raya, penguasaan dalam media sosial serta strategi yang lebih efektif untuk memenangi lebih banyak kerusi," katanya.