SHAH ALAM - Pas tetap memilih amalan demokrasi selaku wadah perjuangan politik biarpun golongan sekular sering menyalahgunakan prinsip berkenaan.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, golongan sekular sering menggunakan demokrasi sebagai alasan mencabul, menipu dan melakukan salah laku tidak bermoral serta zalim khususnya terhadap Islam mengikut agenda Barat.
"Kita menjalani pilihan raya umum (PRU) (mengikut) dua peringkat, iaitu di negeri dan Persekutuan.
"Kini, kita berjaya menang di beberapa buah negeri yang diberikan bidang kuasa terbatas oleh Perlembagaan Persekutuan, yang berjaya meletakkan (kepentingan) Islam dan hak penganutnya, Melayu yang seluruhnya Islam serta bumiputera yang akrab dan orang bukan Islam yang tidak ekstrem," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Abdul Hadi berkata, kewujudan kuasa negara Islam yang berdaulat sepenuhnya adalah syarat wajib paling besar dalam mencapai objektif dakwah, jihad dan hijrah sebagaimana dilaksanakan Rasulullah SAW sehingga mencapai kemenangan sepenuhnya.
"Biarkan kalangan sekular mentafsirkan agama mengikut bahasa mereka. Adapun kita wajib mentafsirkan makna agama Islam dengan bahasa al-Quran (al-din).
"Tunaikan kewajipan yang ada di bawah bidang kuasa negeri dalam aspek hukum syariat yang merangkumi kerja-kerja kebajikan dan pelaksanaan Islam secara berperingkat.
"Tindakan berkenaan dapat membuktikan hikmah pelaksanaan Islam menegakkan pentadbiran yang bersih, adil dan berkebajikan kepada semua rakyat di samping mencegah kemungkaran secara berperingkat," katanya.
Ahli Parlimen Marang berkenaan berkata, Pas juga berjaya menyelesaikan masalah birokrasi pentadbiran dan salah laku rasuah, penipuan dan kezaliman.
"Dapat dibandingkan antara kita dengan kerajaan yang bermasalah dan menipu. Jangan dianggap sama sahaja atau lawan lebih baik daripada kita.
"Kejayaan bersama Islam pasti diberkati ALLAH dengan diberikan pertolongan-Nya, lantas menarik sokongan dan dukungan rakyat yang lebih berkesan daripada bahasa ucapan dan tulisan, walaupun banyak cabaran dan sekatannya," katanya.