Kerajaan perlu kaji semula kenaikan tarif elektrik - Annuar

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa menilai semula keputusan menaikkan tarif elektrik bermula Julai ini kerana alasan yang diberikan oleh Perdana Menteri didakwa sebagai simplistik dan tidak tepat.

Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa berkata, 85 peratus pengguna domestik tidak terkesan dengan kenaikan tarif adalah hujah yang tidak menyeluruh kerana ia tidak mengambil kira faktor sebenar penggunaan tenaga elektrik dalam kalangan rakyat.

“Ada golongan berpendapatan tinggi tinggal di kondominium mewah dengan bil elektrik rendah, dan ada pula keluarga berpendapatan sederhana tetapi ramai ahli keluarga serta menggunakan lebih banyak peralatan elektrik. Mereka ini juga bakal terkesan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Beliau turut menegaskan kenaikan tarif akan memberi kesan berantai terhadap harga barang dan perkhidmatan, terutama selepas peningkatan harga petrol dan diesel, sekali gus membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan mereka yang bekerja sendiri.

“Jawapan Perdana Menteri di Parlimen kepada Ahli Parlimen Machang bukan sahaja memperlekeh soalan wakil rakyat, tetapi juga dianggap sebagai penghinaan terhadap kecerdasan rakyat yang sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

“Kerajaan terdahulu telah menolak cadangan ini, jadi kerajaan sekarang juga boleh melakukan perkara yang sama. Cari formula baharu yang lebih adil untuk rakyat,” katanya.

Dalam hantaran itu, Annuar turut mempersoalkan bagaimana Tenaga Nasional Berhad (TNB) mampu mencatat keuntungan lebih RM1 bilion sebelum ini tanpa kenaikan tarif, serta menyoal sama ada peningkatan tarif 14 peratus ini hanya akan menguntungkan syarikat tersebut.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, menegaskan kenaikan tarif elektrik yang akan berkuat kuasa mulai Julai ini hanya akan melibatkan sektor industri dan golongan berpendapatan tinggi, tanpa memberi kesan kepada 85 peratus pengguna domestik.

Anwar menjelaskan kenaikan ini adalah berdasarkan mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) dan diperlukan untuk memastikan kestabilan ekonomi negara serta menampung perbelanjaan penting seperti pendidikan dan kesihatan.

Beliau juga menafikan dakwaan bahawa tarif asas elektrik di Semenanjung akan meningkat sebanyak 14 peratus, menyatakan bahawa kadar kenaikan yang tepat akan ditentukan selepas semakan semula.

Tegasnya, kenaikan tarif yang munasabah bagi industri dan golongan berpendapatan tinggi adalah perlu untuk menambah peruntukan bagi pembangunan seperti sekolah dan hospital.