KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) tidak pernah melakukan perbincangan untuk menyingkirkan MCA sebagai parti komponennya.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN mempunyai komitmen dalam mengekalkan rakan parti terasnya termasuk MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta parti bersekutu Friends of BN.
"Kita tidak akan pernah terpengaruh dengan sebarang desakan untuk menyingkirkan mana-mana parti komponen dalam BN.
"Tidak pernah (berlaku perbincangan), hanya mereka yang bermimpi di siang hari saja yang mencadangkan itu berlaku,” katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Inap Desa di Bangunan Parlimen di sini pada Selasa.
Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendedahkan bahawa terdapat ‘orang luar’ yang mencadangkan agar UMNO menyingkirkan MCA daripada BN.
Jelas beliau, pihaknya kini sedang ‘menunggu’ keputusan UMNO untuk berbuat demikian.