'Pemimpin keluar kenyataan palsu wajar disingkirkan parti'

SHAH ALAM - Mana-mana parti di negara ini wajar mengenakan hukuman tegas menggugurkan pemimpin terpalit kontroversi termasuk yang kerap mengeluarkan kenyataan palsu demi menjaga imej parti.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, bagaimanapun untuk berlaku adil, sebelum tindakan buang parti itu dikenakan pemimpin yang terlibat seharusnya diberikan amaran terlebih dahulu.

“Dalam hal ini, tindakan perlu dilakukan secara berperingkat. Pertama sekali amaran tegas perlu diberikan namun jika pemimpin berkenaan masih mengulangi perkara sama hingga beri kesan buruk dan menggugat kedudukan parti maka adalah wajar bagi parti menggugurkan keahlian pemimpin tersebut.

“Kekosongan jawatan itu kemudian boleh digantikan dengan pemimpin lain yang lebih matang dalam percakapan dan komited untuk memelihara aspirasi kepartian dengan tidak bertindak sebagai satu liabiliti kepada parti,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pemimpin gabungan parti itu supaya menyemak fakta terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan secara terbuka.

Ahli Parlimen Pagoh yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, langkah tersebut perlu bagi mengelak tercetusnya kontroversi.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilapor akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria susulan kenyataannya yang menyifatkan pemimpin DAP tersebut sebagai ‘anak YTL’.

Hannah menerusi platform X berkata, fitnah tidak boleh dibenarkan menjadi satu kebiasaan terutamanya oleh orang yang beragama.

Perlembagaan

Mengulas lanjut, Ariff Aizuddin menegaskan, untuk menggugurkan pemimpin bermasalah yang mengingkari arahan itu, setiap parti perlu mewujudkan satu peruntukan baharu dalam perlembagaan masing-masing.

Menurutnya, ia kerana jika ia tidak digazetkan sebagai undang-undang, pemimpin dan ahli parti juga dikhuatiri tidak akan memandangnya sebagai satu perkara yang serius.

“Sememangnya pindaan perlembagaan parti perlu dibuat untuk mendisiplinkan pemimpin serta ahli daripada terus menjadi liabiliti kepada parti.

“Namun tidak ada satu jaminan yang utuh bahawa negara boleh mencapai satu situasi politik yang harmoni sepenuhnya seandainya hukuman ini dikenakan kepada pemimpin-pemimpin kontroversi ini tetapi paling tidak ia akan dijadikan sebagai peringatan supaya pemimpin dan ahli parti tidak sesuka hati melemparkan sesuatu tanpa asas yang kukuh,” tegasnya.

Mengenai teguran Muhyiddin, Ariff Aizuddin berpandangan, ia selari dengan kehendak semasa PN untuk memperkukuh gabungan tersebut kerana isu mengeluarkan kenyataan tanpa menyemak fakta boleh mendatangkan kemudaratan politik secara langsung kepada gabungan parti itu.

“Gesaan Muhyiddin supaya pemimpin parti mengawal gelagat untuk mengelakkan dari disaman oleh seteru mereka.

“Kalau disaman dan didapati bersalah di mahkamah, selain dapat imej buruk jentera parti juga terpaksa mengumpulkan sejumlah dana wang yang besar untuk menyelamatkan rakan-rakan mereka ini,” ujar beliau.