KUALA LUMPUR - Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR menyelar kenyataan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz mengenai langkah kerajaan untuk membantu rakyat Palestin di Gaza.
Pengarahnya, Amidi Abdul Manan dalam satu kenyataan berkata, sebagai seorang tokoh yang berpengalaman dalam hubungan antarabangsa, Rafidah tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan seumpama itu.
"Israel tidak pernah tunduk dengan mana-mana desakan antarabangsa, khususnya penyelesaian dua negara walau telah diputuskan di peringkat PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).
"Oleh yang demikian kenyataan Tan Sri Rafidah seolah-olah menunggu kucing bertanduk,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Amidi turut menyentuh situasi tragis yang berlaku di Gaza dengan mengingatkan dalam edisi terbaru peperangan Hamas-Israel, apabila rejim Zionis telah menyerang semua kemudahan awam termasuk masjid, sekolah dan hospital.
"Ada kemungkinan tidak pernah terlintas di media sosial beliau, solat hari raya dilakukan dalam runtuhan sebuah bangunan. Malah para doktor perubatan ditangkap atau terbunuh ketika hospital dibom. Di manakah rasa kasihan belas Tan Sri?,” katanya.
Malaysia sebelum ini mengumumkan pembinaan Bandar Wakaf Malaysia di Gaza menjadikannya negara ASEAN pertama yang mengambil inisiatif membangunkan semula wilayah itu.
Projek berimpak tinggi itu berada di bawah naungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dijangka dilancarkan selepas Ramadan ini. - Bernama