Pas Pulau Pinang: PN masih utuh, tiada pergolakan seperti didakwa

GEORGE TOWN - Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang masih utuh dan tiada pergolakan yang berlaku antara parti dalam perikatan tersebut seperti didakwa beberapa pihak sebelum ini.

Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, dakwaan kononnya PN Pulau Pinang sedang bergolak ketika ini sama sekali tidak benar.

"Kenyataan media dimainkan kononnya tampuk kepimpinan utama PN di Pulau Pinang bergolak adalah tidak benar.

"Kenyataan dikeluarkan mana-mana parti komponen PN berkenaan isu menerajui pakatan ini adalah merupakan cadangan dan telah ditegaskan Timbalan Ketua Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), R Sanjeevan.

"PN terbuka dan menerima apa sahaja cadangan semua pihak dan isu ini tidak menjadi titik perpecahan, malah setiap parti komponen dalam PN saling menghormati satu sama lain," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Presiden MIPP, P Punithan dilaporkan berkata, pihaknya sedia memimpin PN di Pulau Pinang dan terbuka mengadakan perbincangan bersama pemimpin gabungan.

Kenyataan beliau itu susulan laporan media mengenai PN mengalihkan fokusnya di Pulau Pinang kepada pengundi Melayu dan India untuk memenangi majoriti tipis kerusi pada PRN akan datang.

Laporan itu mendakwa, PN bergelut meraih undi Cina seperti dibuktikan oleh prestasinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan Pilihan Raya Negeri 2023, apabila komponen berbilang kaumnya, Gerakan gagal memperoleh sokongan pengundi Cina.

Mengulas lanjut, Muhammad Fawwaz berkata, Pas tidak mahu isu tersebut dijadikan modal untuk dimainkan musuh politik.

"Kita menganggap isu ini sengaja ditimbulkan bagi membuka ruang mewujudkan salah faham antara parti dalam PN.

"Umum mengetahui di Pulau Pinang, parti yang berjaya menawan kerusi ialah Pas dan Bersatu yang mana Pas adalah parti mendominasi dengan tujuh kerusi manakala Bersatu empat kerusi," tambahnya.

Kata Muhammad Fawwaz, Pas mendominasi dan layak memimpin jentera PN Pulau Pinang.

"Rakyat sudah maklum parti mana yang lebih mendominasi dan layak memimpin jentera PN di negeri ini dan sekiranya parti komponen lain mengetuai, ia bakal kehilangan kepercayaan pengundi.

"Tambahan pula, Ketua Pembangkang diwakili Pas iaitu Muhammad Fauzi Yusof sering kali membawa isu yang dipersetujui secara sepakat ke Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun)," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, Pas tidak berhasrat mengikut rentak musuh sengaja berniat mencampuri urusan kepimpinan PN.

"Urusan PN sepatutnya diputuskan dalam kalangan pimpinan utama setiap parti komponen PN. Kita tidak mahu ikut rentak mereka.

"Seharusnya, setiap parti dalam PN memberikan khidmat terbaik kepada rakyat Pulau Pinang dan menumpukan gerak kerja menghadapi Kerajaan Madani dan persediaan ke arah PRU16 akan datang," tambahnya.

Menurut beliau, Pas Pulau Pinang akan berusaha sedaya upaya memelihara kepentingan rakyat negeri ini dan mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan negeri pada pilihan raya seterusnya.

"Pas Pulau Pinang memohon rakan parti dalam PN supaya menumpukan gerak kerja mengikut segmen dan sasaran masing-masing.

"Jangan termakan helah parti lawan supaya kita dapat merealisasikan kemenangan dalam PRU16 dengan pentadbiran yang bersih dan stabil," tambahnya.