Ka Siong tampil mohon maaf isu hina agama Islam di Johor

SHAH ALAM - Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong memohon maaf berhubung perkongsian hantaran menghina dan memperlekeh agama Islam yang dibuat tanpa sengaja oleh salah seorang pentadbir Facebook parti berkenaan pada 26 Januari lalu.

Bekas Menteri Pengangkutan itu berkata, perkara berkenaan merupakan satu kekhilafan dilakukan oleh pentadbir yang telah lama bersara daripada MCA malah hantaran tersebut dimuat naik tanpa pengetahuan parti.

Jelasnya, perkara itu sudah diselesaikan dengan cara memadam hantaran tersebut dan individu berkenaan turut mengakui tersilap berkongsi status daripada pihak lain yang bukan ditulis oleh MCA Johor atau mana-mana pemimpin parti.

“Perkara ini berlaku tiga hari lalu dan sejurus saya mengetahui tentang hal itu, tindakan segera telah diambil. Teguran dan permohonan maaf oleh MCA Johor juga telah dibuat.

“Saya memohon maaf atas kekhilafan ini dan kita akan memastikan perkara yang boleh mengganggu gugat sentimen masyarakat Islam tidak berlaku lagi,” katanya kepada media pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA di Wisma MCA pada Rabu.

Terdahulu, MCA Johor tampil memohon maaf khususnya kepada seluruh umat Islam atas perkongsian status menghina serta memperlekeh agama Islam pada Ahad lalu.

MCA Johor melalui akaun Facebooknya sebelum ini turut memuat naik status yang menyatakan bahawa kerajaan telah menyediakan dana untuk membantu rakyat Palestin.

Selain itu, MCA juga menyalurkan peruntukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi tujuan percetakan al-Quran namun tidak memberikan tol percuma untuk Tahun Baru Cina.

Perbandingan tersebut menimbulkan sangkaan jahat dan persepsi buruk terhadap bantuan yang diterima umat Islam dan rakyat Palestin.