Jangan sombong sangat, UMNO boleh tukar 'singa' jadi 'kucing hutan' - Annuar Musa

SHAH ALAM - Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa mendakwa UMNO mampu menukar kedudukan pemimpin parti sekutunya, DAP yang menganggap diri mereka sebagai seekor ‘singa’ menjadi ‘kucing hutan’ sekiranya itu yang dimahukan.

Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat mendakwa, ia kerana kesabaran UMNO juga ada batasnya apabila Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menggelarkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai 'lalat'.

**media[2987752]**

“Kor Ming lupa mereka bukan singa pun. Mereka terasa besar kerana UMNO menjadikan mereka ‘besar’. Janganlah sombong sangat, UMNO boleh menjadikan mereka kucing hutan kalau UMNO mahu.

“Akan tiba masanya, singa bakal terhegeh-hegeh tanpa taring dan kuku. Saat itu, ngauman singa hanyalah suara kucing hutan yang tidak dipedulikan. Masa itu kian hampir,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini Kor Ming dilapor menyifatkan dirinya sebagai ‘singa’ dan tidak akan berdebat dengan Dr Muhammad Akmal yang digelar sebagai lalat berhubung isu sandwic ‘ham’.

Ekoran itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Mahathir turut mengeluarkan kenyataan mendakwa pimpinan UMNO tidak lebih daripada lalat dalam Kerajaan Perpaduan.

Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO turut menyelar Kor Ming yang mengeluarkan gelaran berkenaan.

**media[2987753]**

“Apabila Kor Ming menggelarkan Akmal sebagai lalat dan beliau sendiri sebagai singa, itu menghina namanya.

"Walaupun kita (saya) bukan ahli UMNO, kita turut merasa tersinggung dan terhina. Cubit paha kiri, paha kanan turut terasa.

“Saya bersimpati dengan Akmal. Beliau cuba mengaum, tapi suaranya tidak cukup menakutkan sesiapa. Ngaumannya kedengaran umpama suara lalat sahaja dan tidak dipedulikan,” ujarnya.

Annuar berpandangan, apabila Dr Mahathir mengulas perkara itu sebenarnya ahli UMNO tidak perlu marah terhadap bekas Ahli Parlimen Langkawi berkenaan.

“Itu tandanya Dr Mahathir turut terasa. Dr Mahathir tidak mahu kita dihina sedemikian oleh singa-singa jadian,” dakwanya lagi.