SANDAKAN - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor percaya kutipan hasil negeri akan mencapai lebih RM8 bilion dalam tempoh tiga tahun lagi, jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, pencapaian dalam ekonomi khususnya kutipan hasil negeri terus meningkat setiap tahun daripada RM4 bilion kepada hampir RM7 bilion pada tahun lalu.
"Saya percaya dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang, jika GRS-PH Plus diberi mandat, kutipan hasil akan mencapai hingga lebih RM8 bilion," katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 peringkat daerah Sandakan di Dewan Yu Yuan, di sini pada Rabu.
Tambah beliau, kerajaan negeri hari ini mempunyai banyak perancangan untuk meningkatkan ekonomi khususnya menerusi tiga teras utama Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
"Malah, lebih banyak inisiatif akan dilaksanakan kerajaan pada tahun ini demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat. Ini kerana perjuangan membantu rakyat belum selesai.
"Saya mahu rakyat di negeri ini termasuk di Sandakan akan terus memberi kepercayaan kepada kerajaan GRS-PH Plus dalam pilihan raya akan datang agar perjuangan kita membangunkan negeri ini akan dapat diteruskan,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan cerita fitnah dan pembohongan pembangkang melalui media sosial terhadap kerajaan.
"Kita akan teruskan pencapaian baik ini khususnya dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
"Kerajaan negeri juga akan terus bekerjasama dengan Persekutuan untuk memastikan lebih banyak pembangunan dibawa ke negeri ini,” katanya.
Seiring dengan peranan besar masyarakat Tionghua dalam pembangunan ekonomi negeri ini, beliau berharap masyarakat ini akan terus bersama-sama membantu kerajaan membangunkan ekonomi negeri ini.
“Saya juga ingin memberi jaminan bahawa kerajaan negeri hari ini sentiasa berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira keturunan dan kepercayaan mereka.
"Ini yang kita terus lakukan dan saya berharap rakyat di Sandakan akan terus memberi sokongan kepada wakil-wakil rakyat di daerah ini,” katanya.