Muhyiddin ingatkan pemimpin PN semak fakta sebelum buat kenyataan

KUALA LUMPUR - Pemimpin Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya menyemak fakta terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan secara terbuka.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu perlu bagi mengelak tercetusnya kontroversi.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pagoh yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menjelaskan, ketika ini tiada arahan melarang pemimpin dalam gabungan berkenaan mengeluarkan kenyataan.

“Tiada perkara seperti arahan larangan bersuara, tetapi saya mengharapkan ahli Perikatan (PN) memastikan bahawa apabila mereka bercakap, mereka menyemak fakta terlebih dahulu dan (kenyataan itu) tidak sepatutnya menimbulkan masalah yang tidak perlu.

“Saya tidak memihak kepada sesiapa. Tambahan pula, dalam musim Tahun Baharu Cina ini, kita perlu menekankan perpaduan nasional dan pemahaman yang lebih baik antara kaum di Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) di sini pada Rabu.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria susulan kenyataannya yang menyifatkan pemimpin DAP itu sebagai 'anak YTL'.

Hannah menerusi platform X berkata, fitnah tidak boleh dibenarkan menjadi satu kebiasaan terutamanya oleh orang yang beragama.

Sebelum itu, Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semanggol tampil memohon maaf kepada kedua-dua pihak atas kesilapan yang dilakukannya.

Terbaharu, Razman pada Rabu membuat laporan polis terhadap sebuah akaun media sosial yang dikesan memuat naik kandungan palsu berhubung kenyataannya yang mengaitkan Hannah sebelum ini.