SHAH ALAM - Sama seperti pemimpin parti lain, Pemuda Pas tidak ketinggalan menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina 2025 dalam bahasa Mandarin.
Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kepelbagaian kaum tidak bermaksud perlu bermusuhan, saling memahami atau bertengkar sesama sendiri.
Sebaliknya, menurut beliau, kepelbagaian kaum mengajar tentang perbezaan antara satu sama lain.
“Jika kita mampu bersatu dalam perbezaan, maka kita pasti boleh membina perpaduan yang kuat di negara ini.
“Justeru, Pemuda Pas mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2025 kepada rakan-rakan berbangsa Cina di seluruh negara!
“Semoga perayaan kali ini membawa harapan baharu buat semua. Raikanlah Tahun Baharu Cina bersama yang tersayang,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut menyampaikan ucapan Tahun Baharu Cina 2025 di platform media sosial masing-masing.
PN juga pada Selasa memanfaatkan Tahun Baharu Cina dengan mengadakan jamuan makan tengah hari sambil bertukar pandangan bersama pengarang kanan beberapa saluran berita bahasa Cina.
Difahamkan, ia bagi mendekati dan memahami masyarakat kaum Cina dengan lebih mendalam.